Monday, May 23, 2011

Bila ditimpa Musibah

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهَ رَاجِعُوْ

Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.”

Musibah adalah perkara yang paling tidak disukai oleh manusia.Sememangnya manusia tidak selesa bila hidupnya tiba-tiba menjadi menderita kerana musibah. Kehidupan yang selama ini bahagia hancur tak bersisa. Malah bukan sedikit di antara mereka yang mengalami kesedihan berterusan hingga menyebabkan tekanan.

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang fana ini, manusia sentiasa dihadapkan pada dua keadaan, BAHAGIA atau SENGSARA. Perubahan keadaan itu terjadi sesuai dengan takdir Allah .Namun hanya orang yang beriman mampu menyingkapi silih bergantinya situasi dan keadaan yang berlaku. Ia kerana meyakini keagungan dan kekuasaan Allah serta tahu akan kelemahan dirinya.

Tidak dinafikan, musibah dan bencana akan selalu mengundang kesedihan dan kepedihan. Mana tidak, semua orang yang dicinta kini telah tiada. Harta benda musnah tak tersisa. Pelbagai agenda dan perancangan akan tertunda. Bahkan segenap fikiran tercurah untuk meratapi diri akibat musibah yang melanda.

Musibah yang menyayat ini terkadang mengusik jiwa orang yang dalam hatinya ada sifat rahmat dan belas kasih. Sehingga huluran tangan dan bantuan pun mengalir dari berbagai arah. Niatnya cuma satu, meringankan penderitaan orang yang terkena bencana. Nilai keprihatinan yang datang dari orang lain amat memberi erti. Namun yang penting adalah bagaimana menghibur hati orang yang menderita itu serta memberikan seribu harapan untuk menghadapi masa depannya kelak.

Maka sudah seharusnya kita umat Islam menjadi orang-orang yang terawal dalam memberikan bantuan kepada orang-orang yang sedang ditimpa musibah, baik bantuan moral ataupun material.

Peristiwa tanah runtuh yang berlaku di Madrasah At-Taqwa Hulu Langat amat meruntun perasaaan dan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.Tatkala kegembiraan menikmati hujung minggu, ada kesedihan yang melanda umat Islam khususnya anak-anak yatim yang diamanahkan oleh Allah untuk kita menjaganya sebaik mungkin.

Bukan sahaja tragedi yang menyayat hati ini malah musibah yang bertimpa-timpa dunia dewasa ini seolah-olah memberikan maksud tersendiri kepada kita.Namun,pada saya musibah adalah bukti peringatan dan tanda kasihnya Allah kepada umatnya.

1. Musibah yang menimpa menunjukkan kepada manusia akan kekuasaan Allah dan lemahnya hamba.

2. Musibah menjadikan hamba mentuluskan sepenuh ibadah hanya kepada Allah kerana tiada tempat untuk mengadu kecuali Allah dan tiada tempat bersandar kecuali Allah jua.

3. Musibah menjadikan seorang kembali kepada Allah dan bersimpuh di hadapan-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِذَا مَسَّ اْلإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيْبًا إِلَيْهِ

Dan apabila manusia itu ditimpa kemudaratan, dia memohon (pertolongan) kepada Rabbnya dengan kembali kepada-Nya.“ (Az-Zumar)

4. Musibah menjadikan seorang mempunyai sifat penyantun dan pemaaf terhadap orang yang melakukan kesalahan kepadanya.

5. Musibah menyebabkan seorang bersabar atasnya. Dan sabar menyebabkan datangnya kecintaan Allah serta pahalanya yang banyak. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاللهُ يُحِبُّ الصَّابِرِيْنَ

Dan Allah cinta orang-arang yang sabar.” (Al-’Imran: 146)

6. Bergembira dengan musibah kerana besarnya faedah dari musibah ini.

7. Musibah akan membersihkan dosa dan kesalahan.

8. Musibah akan menumbuhkan sifat belas kasihan pada diri seseorang terhadap yang ditimpa musibah dan membantu untuk meringankan beban mereka.

9. Mengetahui besarnya nikmat sihat serta mensyukurinya, kerana nikmat tidaklah diketahui kadar besarnya kecuali setelah tidak adanya.

10. Di balik dari musibah ada faedah-faedah yang tersembunyi. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْرًا

Mungkin kalian tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (An-Nisa`: 19)


اِنَّ لِلَّهِ وَاِنَّ اِلَيْهِ رَاجِعُون

"Ya Allah, Ampunilah dia dan kasihanilah dia dan sejahterakanlah serta ampunilah dosa kesalahan dia.Dan mulikanlah kedatangannya dan luaskanlah tempat masuknya (kuburnya) dan bersihkanlah dia dengan air salju dan embun.Bersihkanlah dia dari segala dosa dan sebagimana kain putih yang bersih dari segala kotoran dan gantikanlah baginya rumah yang lebih baik dari rumahnya dan gantikanlah isteri yang lebih baik dari isterinya dan gantikanlah keluarga yang lebih dari keluarganya dan peliharalah (hindarkanlah) dia dari seksa kubur dan seksa neraka"

-AL-FATIHAH-


*GAMBAR:GOOGLE

No comments:

Post a Comment